Friday, 24 August 2012

Bagaimana Kita Menjadi Malu?



     Saya ‘dilahirkan’ sebagai seorang pemalu. Jarang berbual dengan orang yang tidak dikenali, sukar memulakan perbualan dan sentiasa mengelak dari menampilkan diri di khalayak ramai. Tiada apa yang dapat dilakukan untuk mengatasi masalah ini. Ia sungguh misteri.
     Puluhan tahun saya berhadapan dengan situasi ini sehinggalah saya menyedari misteri yang terselindung disebalik perasaan malu itu.

    Percayakah anda jika saya katakan bahawa perasaan malu itu adalah hanya kerana penafsiran kita terhadap sesuatu sahaja.

     Contohnya jika seseorang memandang anda ketika anda berada di khalayak ramai, apakah yang anda tafsirkan terhadap orang itu? Adakah anda tafsirkan ia meminati anda, mengagumi anda, mempersendakan anda, atau memandang sinis kepada anda? 
     Apa jua yang anda tafsirkan terhadap pemikiran orang itu terhadap anda akan mempengaruhi keadaan diri dan situasi anda.

     Jika anda menafsirkan ia meminati anda sudah pasti anda ingin supaya kelihatan cool, sopan, atau sesuai dengan apa yang ia fikirkan terhadap anda. Anda akan berkelakuan supaya menepati tanggapan orang itu terhadap anda.



     Ketika anda berada di hadapan khalayak ramai dan banyak mata memandang anda ketika anda bercakap, apakah yang anda rasa? Pasti berbagai penafsiran timbul seperti; ‘aku tak berucap dengan baik', ‘mungkin pakaian aku tidak menepati majlis’, ‘mereka mengata-ngata sesuatu yang buruk tentang aku’!
     Pasti itulah yang anda rasa bukan? Tetapi benarkah tanggapan anda itu? Jika anda dapat menjelaskan perasaan anda ketika situasi tersebut pasti anda akan mendapati bahawa ia adalah kurang rasional dan tidak logik. Tetapi ia berlaku terlalu pantas sehingga anda sukar untuk menangkap apa yang anda rasa ketika itu.

      Jika anda merasa benar tanggapan anda itu, saya ingin bertanya dari manakah anda yakin ia benar? Anda cuba membaca fikiran (mind reading) seseorang dan kerana itu anda cuba berkelakuan sesuai dengan jangkaan orang tersebut. 
     Dari manakah anda mengetahui ketika seseorang melihat anda, ia meminati anda? Adakah anda bertanya kepadanya? Sudah tentu tidak bukan? Itulah yang berlaku dan anda menganggapnya seolah-olah amat benar dan tidak dapat dipertikaikan lagi



     Oleh itu berhati-hatilah dalam menafsirkan sesuatu. Jangan terlalu cepat menafsirkan apa yang seseorang fikirkan terhadap anda.

     Ingatlah bahawa perspektif pertama anda akan mempengaruhi fikiran anda keseluruhan. Jika anda merasa bahawa orang yang memandang anda meminati atau mengagumi atau mempersendakan anda segeralah bertanyakan kepada diri anda; ‘dari mana aku tahu?’ atau ‘betulkah ia fikirkan demikian terhadap aku?’ atau ‘mungkin ia langsung tidak memikirkan apa-apa terhadap aku tetapi hanya memandang aku saja’!



     Ingatlah, semakin anda menafsirkan fikiran orang terhadap anda, maka semakin tidak menentulah perasaan anda dan menyebabkan anda menjadi malu, gelabah, panik, cemas, tidak selesa, control macho, bajet lawa, cemas, bimbang dan berbagai lagi keadaan yang tidak memberdayakan (disempower)! 

No comments:

Post a Comment