Friday, 24 August 2012

Bagaimana Kita Menjadi Malu?



     Saya ‘dilahirkan’ sebagai seorang pemalu. Jarang berbual dengan orang yang tidak dikenali, sukar memulakan perbualan dan sentiasa mengelak dari menampilkan diri di khalayak ramai. Tiada apa yang dapat dilakukan untuk mengatasi masalah ini. Ia sungguh misteri.
     Puluhan tahun saya berhadapan dengan situasi ini sehinggalah saya menyedari misteri yang terselindung disebalik perasaan malu itu.

    Percayakah anda jika saya katakan bahawa perasaan malu itu adalah hanya kerana penafsiran kita terhadap sesuatu sahaja.

     Contohnya jika seseorang memandang anda ketika anda berada di khalayak ramai, apakah yang anda tafsirkan terhadap orang itu? Adakah anda tafsirkan ia meminati anda, mengagumi anda, mempersendakan anda, atau memandang sinis kepada anda? 
     Apa jua yang anda tafsirkan terhadap pemikiran orang itu terhadap anda akan mempengaruhi keadaan diri dan situasi anda.

     Jika anda menafsirkan ia meminati anda sudah pasti anda ingin supaya kelihatan cool, sopan, atau sesuai dengan apa yang ia fikirkan terhadap anda. Anda akan berkelakuan supaya menepati tanggapan orang itu terhadap anda.



     Ketika anda berada di hadapan khalayak ramai dan banyak mata memandang anda ketika anda bercakap, apakah yang anda rasa? Pasti berbagai penafsiran timbul seperti; ‘aku tak berucap dengan baik', ‘mungkin pakaian aku tidak menepati majlis’, ‘mereka mengata-ngata sesuatu yang buruk tentang aku’!
     Pasti itulah yang anda rasa bukan? Tetapi benarkah tanggapan anda itu? Jika anda dapat menjelaskan perasaan anda ketika situasi tersebut pasti anda akan mendapati bahawa ia adalah kurang rasional dan tidak logik. Tetapi ia berlaku terlalu pantas sehingga anda sukar untuk menangkap apa yang anda rasa ketika itu.

      Jika anda merasa benar tanggapan anda itu, saya ingin bertanya dari manakah anda yakin ia benar? Anda cuba membaca fikiran (mind reading) seseorang dan kerana itu anda cuba berkelakuan sesuai dengan jangkaan orang tersebut. 
     Dari manakah anda mengetahui ketika seseorang melihat anda, ia meminati anda? Adakah anda bertanya kepadanya? Sudah tentu tidak bukan? Itulah yang berlaku dan anda menganggapnya seolah-olah amat benar dan tidak dapat dipertikaikan lagi



     Oleh itu berhati-hatilah dalam menafsirkan sesuatu. Jangan terlalu cepat menafsirkan apa yang seseorang fikirkan terhadap anda.

     Ingatlah bahawa perspektif pertama anda akan mempengaruhi fikiran anda keseluruhan. Jika anda merasa bahawa orang yang memandang anda meminati atau mengagumi atau mempersendakan anda segeralah bertanyakan kepada diri anda; ‘dari mana aku tahu?’ atau ‘betulkah ia fikirkan demikian terhadap aku?’ atau ‘mungkin ia langsung tidak memikirkan apa-apa terhadap aku tetapi hanya memandang aku saja’!



     Ingatlah, semakin anda menafsirkan fikiran orang terhadap anda, maka semakin tidak menentulah perasaan anda dan menyebabkan anda menjadi malu, gelabah, panik, cemas, tidak selesa, control macho, bajet lawa, cemas, bimbang dan berbagai lagi keadaan yang tidak memberdayakan (disempower)! 

Friday, 10 August 2012

Bagaimana Cinta Menjadi Buta?


     Cinta itu buta. Itulah yang sering di uar-uarkan oleh umat manusia di seluruh dunia. Benarkah cinta itu buta? Jika benar apakah yang menyebabkan cinta itu menjadi buta? Kerana cinta itu buta manusia tidak dapat membezakan darjat pasangannya, keburukan pasangannya, rupa paras, bentuk badan, kewangan, persefahaman dan agama di antara mereka.



     Cinta adalah ungkapan yang maha misteri kepada umat manusia. Ramai yang bergelumang dalam kebingungan kerana penangan sebuah cinta. Percayakah anda jika saya katakan bahawa cinta itu menjadi buta kerana perasaaan suka kita kepada seseorang telah membuatkan kita mengetepikan (dismiss) sifatnya yang tidak kita sukai.
     Menurut Sigmund Freud, professor  bapa psikologi moden, bahawa kita tidak akan dapat berkhidmat kepada dua tuan - salah satu daripadanya harus di kalahkan. Dua tuan tersebut adalah antara suka dan tidak suka.
     Jika kita menyukai seseorang, maka fikiran kita secara automatik akan menghapuskan perkara-perkara yang kita tidak sukai tentang orang tersebut.

     Contohnya anda menyukai seseorang kerana keikhlasannya atau kerana sifatnya yang mengambil berat atau sebagainya, maka anda akan memikirkan perkara-perkara lain yang anda sukai tentang dirinya.
     Apabila anda telah menyukainya, maka anda tidak mahu mengingati perbuatan buruknya seperti pernah memaki anda, menipu anda atau sifatnya tidak bertanggungjawab.
     Mungkin anda pernah memikirkannya sekali sekala, tetapi ia tidak berada lama dalam fikiran anda kerana anda telah menyukainya. Fikiran anda menjadi tegang jika memikirkan keburukannya. SALAH SATU HARUS DI KALAHKAN!



     Di dalam buku Thinking Fast and Slow, tulisan pemenang Nobel Ekonomi iaitu Daniel Kenhman yang banyak melakukan kajian akan cara manusia berfikir. Di dalam satu bab beliau memperkatakan akan teori Cognitive Ease, iaitu apabila kita menyukai seseorang, kita secara tidak sedar tidak mengetahui mengapa kita menyukainya.
     Contohnya apabila kita melihat seorang perempuan yang cantik atau lelaki yang segak, kita merasai senang melihatnya. Ia berlaku secara spontan. Kita tidak mengetahui mengapa kita suka melihatnya. Kita tidak mempunyai jawapannya dan kita tidak pernah mempertanyakan diri kita.

     Apabila kita menyukai seseorang, kita juga akan mensensasikan semua perkara akan dirinya. Caranya bercakap, berpakaian, suaranya, bentuk badannya, gayanya dan segala-galanya. Suaranya cukup sempurna kepada kita. Pakaiannya sungguh bergaya. Warna pakaiannya amat sepadan. Percakapannya matang dan sebagainya.
     Cuba pula anda ingat kembali seseorang yang anda benci ketika ini. Ingatkan kembali pakaiannya, gaya dan suaranya. Pasti semuanya amat tidak sesuai dan buruk sekali penampilannya bukan? Anda telah teperangkap dalam fikiran anda sendiri dan semua orang telah teperangkap kecuali bagi mereka yang mempertanyakan dirinya dan mempunyai jawapan.

     Bagaimana untuk melepaskan diri dari perangkap cinta buta ini? Caranya adalah dengan asingkan emosi dan logik anda. Senaraikan semua tentang dirinya – baik dan buruk. Anda akan dapat melihat dengan jelas perasaan anda dia antara yang rasional dan yang tidak. Senang bukan? Ya sungguh senang jika anda mencatatkan perasaan anda itu di atas kertas. Jika tidak perkara yang sama hanya akan berlegar-legar di fikiran anda sahaja.



     Anda harus melakukan perkara ini jika merasa pasangan anda ada sesuatu yang tidak kena (something wrong) atau merasa ragu-ragu dengan perasaan anda untuk membuat keputusan. Anda harus melakukannya jika masa depan anda cuba dipertaruhkan.

     Kerana cinta itu butalah banyak berlaku masalah seperti kahwin lari, tidak mendapat restu ibubapa, di tipu dan sebagainya. Adakah anda yakin dapat terlepas dari cinta buta ini? Tiada yang tahu! Tetapi anda berhak mendapat kehidupan yang lebih baik. Masa depan anda terletak di tangan anda.

Wednesday, 8 August 2012

Siapa Betul - Siapa Salah?


     Siapakah yang betul? Jawapanya adalah mudah. Kitalah yang betul. Mengapakah kita merasa betul? Semua orang pasti merasa ia betul, jika tidak ia tidak akan bertindak dan melakukan apa yang apa yang ia telah dan ingin lakukan.
     Untuk melakukan sesuatu kita secara psikologikalnya harus mempunyai sebab dan alasan sebagai dorongan untuk kita melakukannya. 

     Jika anda dapat menangkap seorang pencuri, penjenayah atau sesiapa sahaja, pasti mereka mempunyai alasan mengapa melakukan perbuatan itu. Alasan mereka sebenarnya bukanlah dalih, tetapi itulah sebab yang mendorong mereka melakukan perbuatan tersebut. Antara alasan mereka adalah seperti ‘orang itu yang mulakan dulu’, ‘ia tidak berlaku adil’, ‘aku kesempitan wang’, sekadar suka-suka’, 'tidak banyak pun' dan berbagai lagi. 

     Pernahkah anda meninggikan suara, mengeluh, tidak bersetuju atau membantah ibubapa anda? Adakah anda merasa telah telah tergolong dalam anak derhaka? Sudah pasti tidak bukan? Kenapa? Kerana anda mempunyai alasan mengapa anda melakukan perbuatan itu dan anda amat yakin bahawa anda adalah di pihak yang betul.



     Percayakah anda jika saya katakan bahawa didunia ini tiada yang betul dan tiada yang salah – ia semuanya bergantung kepada keaadaan. Lihatlah keadaan sekeliling anda, dunia ini sungguh tidak adil! Anda mempunyai lesen kenderaan dan membayar cukai jalan tetapi hak anda di sekat. Anda dipaksa memakai topi keledar, tali pinggang keledar, berhenti di lampu isyarat, perlu mendapat kelulusan JPJ untuk mengubah suai kendaraan anda dan berbagai-bagai lagi. Dalam perkara ini siapakah yang betul? Hak anda atau undang-undang?
     Pertikailah, berhujahlah, anda pasti mempunyai berbagai-bagai alasan dan sebab bahawa anda adalah betul. Tetapi bagaimana pula di pihak lain, adakah anda fikir mereka tidak mempunyai alasan bahawa mereka betul?

     Dewasa ini begitu ramai yang mempertikai dan mempertanyakan hak-hak kebebasan mereka. Mereka menggunakan pelbagai medium seperti Human Rights, Pertubuhan Bukan Kerajaan dan berbagai-bagai lagi untuk menyuarakan akan hak-hak mereka. Negara kita di bandingkan dengan undang-undang negara lain yang lebih liberal, longgar dan lebih bebas undang-undangnya. Hak berhimpun, hak bersuara, hak menyuarakan pendapat dan berbagai-bagai lagi.
     Jika anda tergolong dalam kumpulan ini, pernahkah anda mempertanyakan kepada diri anda akan hak-hak orang lain? Saya tidak ingin memperdebatkan senario politik negara kita, saya hanya ingin membawa anda melihat beberapa gambaran didunia realiti kita hari ini.



     Manusia ini sungguh tidak adil! Mereka sanggup membunuh hidupan lain demi untuk kepentingan mereka. Mereka membunuh haiwan, tumbuhan dan merosakkan landskap bumi kerana kepentingan mereka. Hak-hak haiwan dan tumbuhan harus dibela. Perangai manusia tiada bezanya dengan haiwan seperti harimau,singa dan serigala yang membunuh untuk kepentingan diri sendiri.
     Benarkah manusia dan haiwan tersebut melakukan kesalahan? Jawapannya adalah bergantung kepada siapa diri anda. Jika anda adalah manusia, anda adalah di pihak yang benar. Tetapi jika anda adalah seekor ayam, itik dan lembu, anda mutlak yakin bahawa manusia adalah sungguh kejam dan jahat kerana membunuh golongan-golongan anda. Menarik bukan?



     Anda pernah melihat atau terlibat dalam perdebatan dan pentengkaran. Bagaimanakah kesudahan mereka? Siapakah yang betul dan siapakah yang menang? Kesudahan mereka adalah tidak berkesudahan. Kedua-dua belah pihak pasti akan merasa diri mereka benar dan lawan mereka salah. Dan akhiri mereka pasti dengan kedua-dua pihak tidak berpuas hati dan berbangga dangan hujah masing-masing.

     Anda suka menasihati orang? Jika ya saya nasihatkan anda lebih berhati-hati dan sentiasa menperbaiki method penyampaian anda. Apabila anda menasihati orang bermakna anda ingin menyatakan mereka salah dan anda betul. Menyatakan seseorang salah adalah sesuatu yang senang tetapi sukar untuk di terima oleh pihak lain. Anda akan berhadapan dengan dicemuh, dipulau, bertengkar dan berkesudahan dengan saling tidak puas hati.
     Anda mungkin berbangga apabila merasa anda betul, tetapi bagaimana jika seseorang menyatakan anda salah dan pemikiran anda adalah teruk. Begitulah orang lain rasai apabila anda menyatakan mereka salah.



     Ingatlah, janganlah anda terlalu merasa bahawa anda adalah di pihak yang betul kerana pihak lain juga mempunyai alasan dan sebab-sebab mengapa mereka merasa diri mereka betul. Bahkan mungkin alasan-alasan mereka jauh lebih kuat berbanding anda. Kerana itulah dapat kita lihat mengapa seseorang amat sukar untuk di nasihati, anak-anak tidak mahu mendengar kata-kata ibubapa, guru-guru gagal membetulkan murid-muridnya.
     Untuk memperbetulkan seseorang anda perlu melalui beberapa cara dari sudut psikologikal (mungkin kita akan bincangkan di lain masa), jika tidak anda bukan sahaja tidak mendapat apa yang anda inginkan, bahkan kehilangan lebih dari anda jangkakan.

     Fahamilah keadaan dan alasan orang lain sebelum anda merasa diri anda betul dan mereka salah kerana semua di antara kita merasa dirinya betul. TIADA YANG BETUL DAN SALAH – IANYA BERGANTUNG KEPADA KEADAAN!

Tuesday, 7 August 2012

Melayu Bangsa Yang Lemah?


     Benarkah bangsa Melayu adalah bangsa yang lemah berbanding dengan bangsa-bangsa lain seperti Cina, Barat, Jepun, Korea, Yahudi dan sebagainya? Benarkah begitu? Itulah yang sering kita dengar dari pemimpin-pemimpin kita, tokoh-tokoh negara kita, guru-guru, dan ibubapa kita.
     Kita sering dibandingkan dengan bangsa-bangsa lain seperti bangsa Melayu malas membaca berbanding dengan bangsa Cina dan barat. Bangsa Melayu berhasad dengki, pemalas, tidak mahu berusaha, nak cepat kaya, pengotor, suka berhibur, tidak menghormati ibubapa, gemar menjadi artis, gemar berpolitik, menipu sesama bangsa dan berbagai-bagai lagi. 

     Mengapakah kita sering membandingkan bangsa kita dengan bangsa lain? Adakah bangsa lain benar-benar hebat? Contoh seperti membaca, benarkah bangsa lain gemar membaca? Adakah mereka benar-benar mengetahui keadaan bangsa lain sehingga membandingkan bangsa kita dengan bangsa-bangsa lain. Rendah sangatkah menjadi bangsa Melayu? Adakah jika kita di lahirkan sebagai bangsa lain, kita akan berjaya, kaya, berilmu, dan bijak?



     TIDAK! Bangsa Melayu tidak lemah berbanding dengan bangsa lain. Mereka yang membandingkan bangsa mereka sendiri sebenarnya tidak mengetahui keadaan bangsa lain. Jika mereka mempunyai pengalaman bersama bangsa lain pun, pengetahuan mereka amat terbatas dan mereka hanya melihat beberapa sudut yang umum sahaja tanpa mengetahuinya dengan teperinci.

     Sebenarnya apa yang mempengaruhi bangsa Melayu adalah kerana pengaruh kebudayaan, persekitaran dan didikan. Genetik Melayu tidak mempengaruhi otak manusia untuk berfungsi. Pernah  anda melihat atau kenal dengan bangsa Cina, India atau lain-lain bangsa yang di pelihara oleh keluarga Melayu? Bagaimanakah pemikiran, pergaulan dan cara perbualan mereka? Adakah sama seperti anda?

     Bangsa Melayu malas membaca? Boleh anda nyatakan statistik dan peratus bangsa lain membaca? Anthony Robbins di dalam bukunya, Awaken The Giant Within pada bab pertama menyatakan kerunsingannya akan keadaan bangsanya (Amerika Syarikat) yang tidak suka membaca. Ia menyatakan statistik bangsa Amerika bahawa tidak sampai 10% yang membeli buku membacanya melepasi bab pertama. Itu bab pertama, bagaimana pula dengan mereka yang membacanya sehingga tamat? Wah! Rupa-rupanya bangsa Amerika pun malas membaca seperti kita, bahkan mungkin lebih malas lagi berbanding dengan bangsa Melayu.



     Victor E. Frankl, seorang tawanan Concentration Camp yang terselamat, di dalam bukunya Man’s search For Meaning yang terjual 5 juta unit menceritakan pengalamannya bersama tahanan-tahanan Yahudi di dalam kem tahanan Nazi. Ia menceritakan bagaimana tahanan-tahanan Yahudi membunuh diri setiap hari, menjadi gila, meracau, merintih tidak henti-henti dan berbagai lagi. Bangsa Yahudi yang di anggap maha bijak oleh kita bangsa Melayu, membunuh diri? Bangsa yang ‘bijak’ menjadi gila? Bangsa yang ‘bijak’ sanggup menyembah tentera Nazi? 


     Tidak kira apa bangsa mereka sekali pun, mereka adalah sama seperti kita. Yang membezakan mereka dan kita adalah pengalaman, keadaan sekeliling, kebudayaan mereka yang menitik beratkan beberapa aspek-aspek tertentu dan dengan siapa mereka menghabiskan banyak masa bersama.

     Dale Carnagie di dalam bukunya How To Stop Worrying and Start Living yang di tulis pada tahun 1955 menyatakan bahawa separuh daripada katil di hospital di Amerika Syarikat adalah di tempatkan untuk pesakit jiwa. Bangsa yang ‘hebat’ sakit jiwa, gila dan bunuh diri? Saya tidak ingin memperendahkan bangsa mereka, tetapi saya membawa perkara ini untuk perbandingan yang menyatakan bangsa Melayu lemah tanpa mereka melihat keadaan sebenar bangsa-bangsa lain.



     Bangsa Melayu pentingkan diri? Cubalah lihat bagaimana banga lain contohnya di China bagaimana mereka tidak mempedulikan bangsa mereka yang dalam kemalangan. Bangsa yang ‘hebat’ yang kini menguasai pasaran dunia adalah sama seperti kita rupa-rupanya.

     Bagaimana pula dengan kenyataan bahawa bangsa Melayu suka berhibur? Anda boleh membandingkannya dengan bangsa di Perancis, England, Amerika, hatta seluruh dunia. Itu adalah sifat manusia.

     Bangsa Melayu berhasad dengki sesama sendiri? Jika anda mendalami undang-undang di Amerika Syarikat, anda dapat melihat betapa ‘gila’nya bangsa meraka dalam saman-menyaman. Anthony Robbins pernah menyatakan di dalam bukunya bahawa jika anda mempunya aset setengah juta dollar, kebarangkalian anda akan di saman adalah tinggi kerana pihak lain mahu mengambil keuntungan atas kekayaan anda.
     Bangsa Cina di Malaysia juga bersifat ‘dengki’. Mereka akan cuba menjatuh atau memperlahankan lawan mereka dalam perniagaan yang sama dengan mereka. Itu lumrah manusia. Setiap manusia takut akan persaingan yang boleh membuatkan mereka merundum. Jadi mengapa hanya menyatakan bangsa Melayu sahaja berhasad dengki? Mengapa tidak menyatakan umat manusia berhasad dengki?



     Hentilah dari memperendahkan bangsa anda sendiri. Percayalah dengan berbuat demikian anda juga akan turut merasa terhina dan akan merasa rendah diri bila berhadapan dengan bangsa lain. Anda hanya akan menjadi penonton kepada bangsa lain dalam persaingan kerana anda merasa kedudukan anda rendah, tidak layak serta tidak akan mampu bersaing dengan bangsa yang anda rasa hebat!

Cinta Dari Sudut Psikologikal

                       
     Cinta adalah suatu yang paling misteri sepanjang zaman. Cinta sering di mainkan di mana-mana sahaja saja, baik pada filem, majalah, drama, buku, lagu dan berbagai lagi. Terlalu sukar untuk mengungkapkan dan mendefinisikan apa itu cinta.. 'Cinta itu apabila kita sentiasa terbayang wajah si dia', 'cinta itu suci', cinta itu tidak mengenal usia', 'cinta itu buta', dan berbagai-bagai lagi ungkapan.     
              



      Tidak dapat di nafikan media memainkan peranan dan pengaruh mendalam tentang cinta. Mengapakah kisah cinta sering mendapat tempat di media? Jawapannya adalah kerana semua orang dapat merasai perasaan yang di namakan cinta itu. Tetapi benarkah cinta itu sesuatu yang sangat misteri?
     Ya! Bukan sahaja cinta, tetapi semua yang berkaitan dengan emosi adalah misteri oleh hampir keseluruhan orang.

      Adakah cinta itu berasal dari emosi? Apakah cinta itu sama seperti emosi-emosi lain seperti gembira, sedih, takut, dan marah? Jawapannya adalah ya! 

      Pernahkah anda mempertanyakan kepada diri anda mengapakah anda merasa menyukai seseorang? Pasti tidak bukan? Jika anda mempertanyakannya pun anda pasti tidak akan mendapat jawapan. Pernahkah anda mempertanyakan diri anda apakah yang seseorang itu lakukan terhadap anda sehingga anda merasa menyukainya? 



      Kesimpulan dari apa yang di katakan cinta itu adalah kerana perasaan menyukai seseorang. Menyukai seseorang yang bertentangan jantina dari anda. Dan jika bersamaan jantina ia hanya di namakan persahabatan.
     Contohnya, jika anda seorang perempuan. Seorang rakan perempuan anda sering mengambil berat akan diri anda, menjadi seorang yang setia mendengar luahan anda dan sentiasa menghargai apa yang anda lakukan. Apakah perasaan anda terhadapnya? Anda pasti menganggapnya sebagai seorang sahabat sejati, teman rapat dan sahabat karib anda.
     Bagaimanakah jika seorang lelaki melakukan perkara yang sama kepada anda? Apakah anda merasa ia wajar di anggap sebagai teman rapat sahaja?

      Manusia dan seluruh kehidupan ini di jadikan berpasangan. Sudah lumrah bahawa setiap manusia memerlukan yang bertentangan jantina darinya. Wanita memerlukan lelaki kerana kekuatannya, keberanian dan agar dapat melindunginya. Manakala lelaki pula memerlukan wanita kerana ketelitiannya, kelembutannya dan kerana perasaannya yang mendalam.




      Oleh itu ketahuilah bahawa cinta bukanlah sesuatu yang misteri yang membingungkan. Cinta lahir kerana anda menyukai seseorang samada anda sedar atau tidak. Dan ia juga dinamakan cinta apabila anda menyukai orang yang bertentangan jantina dengan anda. Dan ia sekadar di namakan persahabatan jika orang tersebut sama jantina dengan anda.
     Tiada istilah cinta itu buta, ia buta kerana anda tidak dapat mendalami perasaan anda sendiri dan tidak pernah mempertanyakan diri anda kenapa anda menyukainya. Anda terperangkap dalam perasaan anda sendiri dan menolak rasional.